Pada hari ini, 28 Jun dalam tahun 1785, orang-orang Belanda di bawah pimpinan Komander Gerardus Zwykhardt dan August Gravensteyn terpaksa lari meninggalkan kubu-kubu mereka di Kuala Selangor, balik ke Melaka.
Angkatan Belanda ini telah dapat dikalahkan oleh angkatan Sultan Ibrahim Shah iaitu Sultan Selangor yang kedua yang diketuai oleh baginda sendiri dengan bantuan orang-orang Pahang yang diberikan oleh Bendahara Abdul Majid.
Ketika Kompeni Belanda berkuasa di Kuala Selangor kubu-kubu pertahanan Sultan Ibrahim telah diambil alih Raja Muhammad Ali Siak dilantik sebagai Pemangku Yang Dipertuan Selangor. Serangan yang dilancarkan oleh Sultan Ibrahim dan pengikut-pengikutnya ke atas Belanda dengan bantuan orang-orang Pahang telah berjaya menawan kembali kubu Kuala Selangor.
Sultan Ibrahim telah mengambil usaha memperbaiki dan membina kubu-kubu di atas kawasan bukit di Kuala Selangor selepas mengambil alih semula pentadbiran. Berikutan daripada itu. Melihatkan kekuatan kerajaan Sultan lbrahim, Kompeni Belanda memutuskan untuk menjalinkan hubungan hingga membawa kepada perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak pada 29 Jun 1786.
Sesungguhnya, kemenangan yang dicapai oleh angkatan Sultan Selangor ini, berjaya menebus kembali kekalahan kepada Belanda dan semangat bersatu yang jitu di kalangan rakyat merupakan faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini.
No comments:
Post a Comment