Jika keadaan fizikal saya baik dan tidak ada kecederaan, saya mungkin teruskan hingga ke 2016. Tetapi itu pun bergantung pada kecergasan dan tahap pemulihan saya, katanya sejurus tiba dari London, awal pagi semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
Sedar dengan situasi pemain pelapis negara yang kurang menyerlah, Chong Wei turut menyatakan komitmennya untuk membantu pemain pelapis dengan salah satu caranya mengadakan latihan dalam kumpulan bersama pemain muda bagi memberi galakan kepada mereka.
Terdahulu, kepulangan Chong Wei pada Olimpik kali ini disambut lebih 500 peminatnya yang memberi sokongan padu selepas sekali lagi merangkul perak sebaik tewas 21-15, 10-21, 19-21 kepada Lin Dan dari China.
Terima kasih datang menjemput saya. Saya harap orang ramai berbangga saya dapat perak. Saya tahu ada yang kecewa sebab sikit saja lagi saya dapat emas tetapi saya tak dapat buat apa-apa kerana perkara sudah lepas.
Saya terkejut (masih ramai datang). Saya sudah buat yang terbaik dengan dua minggu yang ada untuk melakukan latihan rapi. Apa pun saya puas hati (dengan prestasi latihan dua minggu), katanya yang disambut Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.
Sementara itu, Razali berkata, sektor korporat dilihat masih belum terbuka hati untuk memberi ganjaran kepada atlit negara yang memperoleh pingat perak dan gangsa.
Setakat ini tidak ada lagi (korporat) yang menyatakan hasrat untuk memberi ganjaran, mungkin sebab semua bagi tumpuan pada emas saja.
Namun Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) untuk pingat perak masih kekal RM300,000, katanya ketika menyambut kepulangan Chong Wei.
Selain itu, katanya Chong Wei yang sebelum ini memperoleh pencen bulanan RM3,000 selepas kejayaan merangkul perak pada Olimpik 2008 Beijing akan terus memperoleh jumlah yang sama tanpa ada pertambahan jumlah biarpun merangkul satu lagi perak di London.
Katanya, Chong Wei yang tidak dapat merangkul sasaran satu emas negara tidak boleh ditafsirkan sebagai kegagalan kerana pemain itu sudah memberikan tentangan sengit dengan mengambil kira faktor dia baru pulih daripada kecederaan.
Kredit : Berita Harian

No comments:
Post a Comment